MARDI SPLASH
Welcome
Login / Register
Jimatkan Tenaga Elektrik, Gunakanlah Dengan Bijak!  ----------------------  

Most popular


  • Benih tahan lasak - Varieti Padi MARDI 284

     

    Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menghasilkan benih padi varieti MR284 yang lebih tegap dan tahan rintangan penyakit.

    Varieti MR284 diperkenalkan sebagai pelengkap varieti sedia ada selain memberikan hasil lebih tinggi dan tekstur nasi yang lembut.

    Benih itu juga diklasifikasikan sebagai tahan lasak kerana mampu menahan tiupan angin dan ribut di kawasan sawah padi.

    Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, pesawah perlu mengambil peluang untuk menanam varieti itu.

    “Mereka perlu mematuhi dan melaksanakan pakej pengurusan pengeluaran MR284 yang khusus untuk mendapatkan hasil yang tinggi dan mengurangkan serangan penyakit dan perosak.

    “MARDI menjalankan penyelidikan selama 13 tahun terhadap benih padi itu dan mengujinya di beberapa kawasan sawah padi termasuk di Pida 4 Deli di sini, Tanjung Karang, Selangor, Kerian, Perak dan Seberang Prai, Pulau Pinang.

    “Kami berharap benih padi berkualiti tinggi ini dapat menghasilkan sembilan hingga 10 tan hasil bagi setiap hektar padi,” katanya ketika merasmikan Majlis Pengisytiharaan Varieti Padi MARDI 284 di Jerlun, Kedah, baru-baru ini.

    Hadir sama, Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Datuk Othman Aziz dan Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Sharif Haron dan Pengurus Besar MADA Md Zuki Ismail.

    Beliau berkata, benih padi itu boleh digunakan pesawah pada musim penanaman padi baru yang bermula Oktober ini.

    “Benih padi berkualiti tinggi itu mampu mencapai hasrat kerajaan untuk mengurangkan 70 peratus import beras.

    “Beras yang dihasilkan pesawah di seluruh negara hanya 30 peratus dan ia tidak cukup untuk menampung permintaan tempatan terhadap makanan ruji itu.

    “Sasaran kami untuk capai tahap 100 peratus tahap sara diri supaya tidak perlu mengimport beras,” katanya.

    Sementara itu, MARDI melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) varieti baru selama lebih 10 tahun.

    “MR284 ini mempunyai kerintangan yang lebih baik terhadap penyakit karah daun dan sederhana kepada bena perang berbanding MR219.

    “Secara purata, varieti ini mempunyai daya pengeluaran hasil yang lebih 7.2 peratus daripada varieti MR219 dan MR263.

    “Ia matang sekitar 108 hari selepas tabur, tiga hari lebih awal dari MR219,” katanya.

    Menurutnya, hasil tertinggi yang pernah dicatatkan MR284 ini ialah sebanyak 9.2 tan sehektar.

    “MARDI sudah menghasilkan 41 varieti padi dengan hampir 95 peratus benih dapat meningkatkan hasil dan mengurangkan masalah penyakit padi.

    “Pada 2010, MARDI menghasilkan empat varieti iaitu MR253, MR263, MR220 CL 1 dan MR220 CL 2 sebagai pengganti kepada varieti MR219 dan MR220 selain berjaya menghasilkan varieti MR269 pada 2012,” kataya.

    Pada majlis itu, Tajudin turut menyaksikan Majlis Memorandum Persefahaman (MoU) antara MARDI dan MADA membabitkan tujuh sektor antaranya pembangunan varieti padi, pembangunan dan penggunaan teknologi penanaman padi serta pengurusan kawalan perosak dan penyakit padi.

    Read more »

  • Gandakan anak pisang melalui teknologi kultur tisu MARDI

     

    Sebagai sebuah negara membangun, Malaysia juga tidak terlepas daripada masalah ketidakcukupan bekalan bahan mentah disebabkan faktor populasi yang semakin bertambah. Bagi mengatasi masalah bekalan makanan, pelbagai teknologi telah dicipta dan dikembangkan untuk tujuan meningkatkan produktiviti sektor pertanian.

    Salah satu teknik yang dimanfaatkan adalah bioteknologi dalam bidang pertanian yang berjaya dibangunkan bagi menggandakan tanaman seterusnya meningkatkan produktiviti atau mutu keluaran. Teknik ini adalah pembiakan tanaman secara kultur tisu.

    Secara ringkas, kultur tisu merupakan kaedah untuk menghasilkan tanaman yang lengkap bermula dengan sebahagian kecil tisu tumbuhan dalam eksplan seperti batang, daun atau sel yang dikulturkan dalam media secara steril atau aseptik bagi tujuan tumbesaran.

    Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), merupakan antara agensi kerajaan bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani giat menjalankan kajian dan penyelidikan berkaitan teknologi kultur tisu dan antara fokus yang diberikan adalah terhadap tanaman pisang. Menerusi Unit Pengeluaran Bahan Tanaman, Biji Benih dan Baka Ternakan (UBB), MARDI Klang, kini pengeluaran benih berkualiti bagi tanaman pisang untuk pengeluaran secara komersial dapat dilaksanakan.

    Pegawai Penyelidik MARDI, Jaliyah Abu Bakar berkata, melalui kaedah konvensional, setiap pokok pisang hanya mampu menghasilkan sebanyak lima hingga 10 sulur sahaja untuk tanaman seterusnya dan mengambil masa sehingga sembilan hingga 10 bulan untuk dituai. “Dengan adanya teknologi kultur tisu, setiap sulur pisang mampu mengeluarkan sehingga 2,000 anak benih secara berterusan dan mengambil masa yang lebih singkat untuk mendapatkan hasil tuaian. “Empat jenis pokok pisang yang diberi perhatian menggunakan kaedah teknologi kultur tisu ialah pisang tanduk, pisang berangan, pisang emas dan pisang nangka,” katanya ketika Mega Sains ditemui di MARDI Klang baru-baru ini.

    Menurutnya, kaedah berkenaan sebenarnya telah digunakan sejak tahun 2006 dan pada tahun 2008 pengeluaran anak pokok pisang dilakukan secara agresif setelah mendapat pengiktirafan ISO. “Pada tahun 2015, sebanyak 60,000 anak pokok pisang telah dikeluarkan dan pada tahun 2016, jumlah pengeluaran semakin meningkat sehingga mencecah 70,000 anak pokok. “Setiap anak pokok pula dijual dengan harga yang cukup rendah iaitu hanya RM2, manakala platlet pula dijual pada harga RM1.50,” ujarnya. – Gambar SURYA BONMA

    Proses kultur tisu

    Jaliyah Abu Bakar berkata, kaedah kultur tisu bagi pembiakan pokok pisang perlu menerusi beberapa proses iaitu pemilihan tanaman, penyediaan bahan induk, penyediaan kultur disteril, penggandaan tunas, proses pengakaran dan pengalihan ke dalam polibeg sebelum ditanam di ladang. “Bahan tanaman iaitu sulur akan diambil daripada ladang dan diproses dalam makmal. Kebiasaannya sulur pedang akan digunakan kerana proses pembiakan dan pertumbuhannya lebih pantas.

    “Setelah itu, sulur tersebut akan disteril dengan bahan pembasmi kuman dan juga air suling selama 45 minit. Kemudian proses pemotongan eksplan dilakukan dan diletakkan dalam medium pertumbuhan yang mengandungi nutrien serta hormon untuk tujuan pembiakan,” katanya. Kemudian, selepas disimpan selama 45 hari dalam bilik tumbesaran yang bersuhu 24 hingga 28 darjah selsius, ia akan menghasilkan akar dan mengeluarkan tunas.

    “Tunas berkenaan kemudiannya akan dipindahkan ke dalam medium baharu bagi tujuan pembiakan seterusnya sebelum melalui proses pengakaran. “Bagi proses pengakaran, setiap tunas atau platlet yang mencapai ketinggian yang telah ditetapkan akan diasingkan dan seterusnya dipindahkan ke dalam polibeg yang mengandungi medium campuran,” jelasnya.

    Selepas enam hingga lapan minggu, anak pokok pisang berkenaan akan mencapai ketinggian dan kriteria yang ditetapkan, seterusnya sedia untuk dijual serta dipindahkan ke ladang. Perbezaan antara pokok pisang yang dihasilkan secara kultur tisu dengan kaedah konvensional ialah benihnya akan tumbuh seragam atau sekata dan berbuah dalam tempoh yang sama. “Hal ini akan memudahkan petani untuk menuai hasil selain kualiti buah yang lebih terjamin dari segi kualiti dan selamat untuk dimakan,” katanya. #ourfoodourfuture #TN50

    Sumber: Utusan Malaysia, 1 Mei 2017

     

    Read more »

  • Makmal Pemprosesan Madu Kelulut Kemaman

     

    PENGENALAN

    Industri ternakan lebah terutamanya kelulut berpotensi menjadi pertanian bernilai tinggi kerana madu kelulut akan dijadikan produk premium untuk diketengahkan di pasaran tempatan dan antarabangsa. Industri ini mempunyai peluang yang luas untuk dimajukan ke tahap yang lebih tinggi terutamanya dalam penghasilan ‘superfood’ dan mampu menjana pendapatan yang tinggi kepada pengusaha di setiap peringkat rantaian nilai tersebut. Antara usaha-usaha kerajaan serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk memastikan kualiti madu kelulut terjamin ialah:

    a) Menyediakan SOP (Amalan Pertanian Baik (MyGAP) untuk penternakan kelulut dan lebah) bagi proses penternakan kelulut dan lebah serta pemprosesan hasil kelulut kepada semua projek/ladang penternakan kelulut.
    b) Membangunkan Piawaian Madu Kelulut Malaysia.

    KHASIAT MADU KELULUT

    Madu kelulut didapati mengandungi pelbagai bahan berkhasiat yang telah dibuktikan secara saintifik mempunyai aktiviti antioksida, antikanser, antiradang dan lain-lain. Walau bagaimanapun, kandungan bahan berkhasiat ini akan berkurangan dengan cepat jika penapaian atau fermentasi berlaku. Ini disebabkan oleh kehadiran yis dan mikrob lain. Akibatnya jangka hayat madu dari segi kualitinya akan menjadi singkat. Ini menyukarkan proses pengkomersilan kerana produk madu komersil selalunya mempunyai jangka hayat melebihi satu tahun. Ia juga tidak sesuai untuk eksport kerana kemungkinan akan meletup akibat fermentasi semasa proses pengangkutan. Untuk melambatkan dan mengurangkan kebarangkalian berlakunya fermentasi dalam madu, kandungan air perlu dikurangkan.

    Menurut spesifikasi dalam standard yang telah dibangunkan iaitu ‘MS 2683:2017 Kelulut (Stingless bee) honey - Specification’, kandungan air atau lembapan dalam madu kelulut yang diproses mestilah kurang daripada 22%. Oleh kerana kelembapan persekitaran di Malaysia agak tinggi, proses mengurangkan kandungan air memerlukan proses pengeringan madu kelulut yang teliti. Proses pengeringan hendaklah dijalankan dalam persekitaran yang berkelembapan rendah dan sentiasa dipantau. Proses pembungkusan juga perlu dalam persekitaran yang bersih untuk mengelakkan pendedahan kepada mikrob-mikrob yang boleh menyebabkan fermentasi. Oleh itu, satu fasiliti yang khusus diperlukan untuk melakukan kerja-kerja tersebut. Menyedari keperluan ini, YB Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani telah meminta pihak MARDI membangunkan Makmal Pemprosesan Madu Kelulut Kemaman.

    TEKNOLOGI ALAT PENYAHIDRAT MADU KELULUT MARDI

    Madu kelulut mempunyai kandungan air yang tinggi melebihi 20% yang boleh menyebabkan berlakunya penapaian madu dan secara tidak langsung boleh mengakibatkan kandungan aktif dan juga enzim merosot. Oleh yang demikian, proses penyingkiran air atau penyahidratan perlu dilakukan supaya madu kelulut mencapai kandungan lembapan pada ≤22% iaitu kandungan kelembapan yang matang dan stabil bagi madu. Penyahidratan madu kelulut memerlukan pengawalan suhu dan kandungan kelembapan udara yang rendah kerana pengawalan pada suhu yang rendah berupaya memelihara kandungan enzim dan kandungan aktif di dalam madu kelulut.

    Kaedah mengurangkan kelembapan madu yang diamalkan pengusaha seperti pemanasan ‘double-boil’, pengeringan secara terbuka dan pengeringan dengan menggunakan pengering yang berbeza antara satu sama lain ini telah menyebabkan tiada kaedah standard dalam pemprosesan produk madu kelulut khususnya untuk proses penyahidratan. Ini ditambah pula dengan kaedah yang diamalkan agak sukar untuk mengawal dan memelihara kualiti madu yang diproses. Justeru, pembangunan alat penyahidratan yang mempunyai sistem yang sistematik dan efektif, mampu mempercepatkan proses penyahidratan serta dapat memelihara kualiti madu kelulut adalah diperlukan. Oleh yang demikian, MARDI telah mengambil langkah dan inisiatif untuk membangunkan alat penyahidrat madu kelulut yang sistematik untuk membantu pengusaha madu kelulut.

    Spesifikasi Alat Penyahidrat Madu Kelulut MARDI

    Reka bentuk alat penyahidrat madu kelulut MARDI terdiri daripada dua ruang utama. Ruang pertama adalah tempat untuk menempatkan alat penyahlembapan (dehumidifier) manakala ruang kedua adalah ruang untuk pemprosesan penyahidratan madu kelulut. Komponen-komponen lain yang disertakan ialah dulang yang diperbuat daripada keluli tahan karat, pengacau bergred makanan, kipas pengalir udara dan aci motor elektrik. Dulang untuk meletakkan madu mempunyai tiga aras dan pengacau madu dicantumkan pada ketiga-tiga dulang tersebut dan disambung pada aci (shaft) motor elektrik. Di antara ruang pertama dan kedua terdapat ruang terbuka untuk penghembus (blower) alat penyahlembapan membekal dan mengalirkan udara panas kepada madu kelulut.

    Di dalam ruangan tersebut juga diletakkan pemecah udara (air-breaker) untuk memastikan setiap madu di dalam dulang akan dilalui oleh udara yang mempunyai kelajuan yang sekata iaitu sekitar 4 – 5 m/saat. Pergerakan secara putaran oleh pengacau madu teflon dijana oleh motor elektrik berkuasa 90 watt dengan kelajuan putaran yang digunakan ialah 60 – 100 pusingan seminit (rpm). Alat penyahidrat ini berkapasiti 15 kg untuk satu kitaran proses dan berkeupayaan menurunkan kandungan kelembapan dalam madu ke julat kelembapan sesuai pada ≤ 22% dalam tempoh 8 – 9 jam.

    Impak Teknologi Alat Penyahidrat Madu Kelulut MARDI

    Inovasi alat penyahidrat madu kelulut MARDI yang dibangunkan menepati keperluan usahawan dan pengusaha madu kelulut dalam menghasilkan produk madu kelulut yang tulen dan berkualiti tinggi. Pengendalian yang mudah, selamat, bersih serta menjimatkan masa mampu memberi impak yang besar kepada usahawan terutamanya mengurangkan kos operasi dalam pemprosesan produk madu.

    Secara umumnya, inovasi ini mampu membantu perkembangan industri penternakan kelulut di Malaysia. Dari segi impak ekonomi, penggunaan inovasi ini dalam pemprosesan madu kelulut mampu memberikan pulangan pendapatan yang lebih baik berbanding dengan kaedah tradisional yang dipraktikkan sekian lama. Inovasi ini mampu menjimatkan masa pemprosesan madu kelulut sekali gus meningkatkan hasil dan kelangsungan produk madu kelulut sementelah produk ini mendapat permintaan yang tinggi di pasaran. Ini sekali gus dapat memperkembangkan industri berasaskan kelulut di Malaysia di samping mampu menggalakkan penyertaan masyarakat terutama golongan muda dalam bidang ini.

    Read more »

  • 2 Varieti Baharu Padi MARDI; Sempadan 303 dan Sebernas 307

     

     

    Tanjung Karang, 12 April – Yang Berhormat Dato’Sri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia telah mengisytiharkan dua varieti baharu padi iaitu padi MARDI sempadan 303 dan padi MARDI Sebernas 307 MARDI. 

    MARDI Sempadan 303 adalah sempena nama kawasan ini. Ia telah dibangunkan melalui kacukan varieti MR 256 dengan varieti ulangan MR 253 bermula sejak tahun 2005, d0iikuti dengan beberapa siri penilaian di beberapa kawasan jelapang utama negara yang memakan masa 25 musim penanaman. Varieti padi ini mempunyai ciri-ciri penting seperti tempoh matang yang agak singkat iaitu diantara 104 hingga 106 hari dan mampu memberi hasil tuaian tertinggi sebanyak 10 tan/hektar. Ia juga rintang kepada penyakit karah daun dan sederhana rintang kepada penyakit karah tangkai serta sederhana rintang kepada serangga perosak benah perang. Selain itu, ianya juga sesuai untuk ditanam di kawasan kurang subur.

    Bagi varieti padi MARDI Sebernas 307 pula, proses kacukan adalah diantara varieti MR 256 dan P493. Selama 22 musim penanaman telah diambil bagi menilai kualiti dan prestasi varieti ini di beberapa kawasan jelapang padi utama Negara. Ia menunjukkan kerintangan yang sederhana terhadap penyakit karah daun dan karah tangkai serta serangga perosak benah perang. Hasil boleh dituai dalam tempoh diantara 107 hingga 110 hari. Potensi hasil tertinggi dicapai adalah 10 tan/hektar. Kedua-dua varieti ini memenuhi citarasa dan kehendak pengguna tempatan. Dengan pengenalan dua varieti padi ini diharapkan dapat menyumbang kepada kepelbagaian varieti padi dan seterusnya peningkatan hasil pengeluaran padi Negara. 
    Menurut Dato’ Sri Ahmad Shabey Cheek, pelancaran dua varieti padi pada hari ini adalah selari dengan usaha-usaha kerajaan untuk memajukan industri padi dan beras negara. Sehingga kini, perbelanjaan kerajaan untuk memajukan industri padi dan beras negara telah melebihi RM50 bilion. Pada tahun 2011 hingga 2016, purata sebanyak RM2.0 hingga RM2.5 bilion peruntukan tahunan telah diberikan kepada sub sektor padi dan beras negara. Begitu juga di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA). Pada tahun 2017 sahaja, 45% daripada kegunaan peruntukan kerajaan adalah untuk membangunkan industri padi di Malaysia ini. 

    Menurutnya Dato’ Sri Ahmad Shabey Cheek lagi, bagi memastikan usaha-usaha kerajaan dan MARDI dalam membangunkan dua Varieti padi baharu MARDI iaitu Sempadan 303 dan MARDI Sebernas 307 ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya, beliau menyeru kepada semua pesawah agar menggunapakai teknologi yang dihasilkan mengikut garis panduan dan syor-syor yang telah dikeluarkan oleh pihak-pihak berwajib. Seperti juga dalam banyak hal lain, garis panduan atau buku panduan dikeluarkan, agar kebaikan dapat diperolehi dengan maksimum.

    Majlis hari ini turut akan dihadiri bersama Yang Berhormat Tan Sri Datuk Seri Noh bin Hj , Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor; Yang berbahagia Datuk Dr Mohamad Satim Diman, Pengerusi Lembaga Pengelola MARDI; Yang Berbahagia Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Noor Ketua Pengarah MARDI ;dan turut dihadiri oleh Ketua-ketua jabatan dan Agensi dan ketua—ketua kampung berhampiran

    Read more »